Saturday 13 August 2011

Nasi Dagang Untuk Hari Raya Tetap Ada Walau Bersedih

Intan Baizura Abdullah (kanan) bertanya khabar Hamid Mustafa (kiri) dan Suriani Sulong selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga tersebut di Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu, semalam.



Walaupun dua anak kembarnya terbunuh dalam kebakaran pada bulan lalu, Suriani Sulong tetap akan menghidangkan makanan kegemaran mereka iaitu nasi dagang pada Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.



Suriani, 40, berkata, mereka sekeluarga akan menyambut hari raya tahun ini secara ala kadar kerana masih bersedih dengan kehilangan kedua-dua puterinya itu.



“Mereka berdua sama seperti budak-budak lain di sini yang suka makan nasi dagang dan ketupat pada pagi hari raya.



“Walaupun mereka sudah tidak ada, kami akan tetap buat nasi dagang pada hari raya nanti untuk orang yang datang ke rumah,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di rumah ibu mertuanya di Kampung Durian Mas, Manir di Kuala Terengganu, semalam.



Sumbangan berupa cek bernilai RM4,000 dan pakaian itu diserahkan wakil Bakti, Datin Intan Baizura Abdullah yang juga isteri kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.



Dalam kejadian 5 Julai lalu, pasangan kembar berkenaan, Nor Fatin Farzana Hamid dan Nor Fatin Farzanah Hamid, 3, ditemui mati dalam keadaan berpelukan di atas timbunan pakaian yang hangus terbakar dalam sebuah bilik di rumah mereka.



Ketika kejadian, bapa mereka sedang tidur di bahagian ruang tamu manakala ibu mereka pula keluar bekerja.



Menurut Intan Baizura, pihaknya terpanggil menghulurkan bantuan tersebut bagi meringankan beban keluarga mangsa sempena hari raya yang akan disambut tidak lama lagi.



“Saya juga difahamkan keluarga ini boleh menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada hari raya nanti kerana rumah itu sudah siap hampir 80 peratus,” katanya.



Dalam pada itu, bapa mangsa, Hamid Mustafa, 44, nyata masih sugul dan tidak dapat menahan sebak ketika ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran dua permata hatinya itu.


Widget by Forex Trading | Business

0 comments:

Post a Comment

 
Online