Saturday 13 August 2011

Telefon Bimbit Jadi Penyelamat Gadis Daripada Diculik

Beberapa orang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat Noredreen Natasya dilarikan di Kuala Besut, Terengganu semalam. Gambar kecil ialah Suhaimi.



“Lelaki itu selalu kacau saya. Dia kerap telefon dan hantar SMS kepada saya. Dia jugalah yang mengajak saya untuk bernikah dengannya ketika saya diculik. Saya cukup takut tapi Alhamdulillah semuanya selamat," - Noredreen



Tiga pemuda berpakat melarikan seorang gadis sunti berusia 15 tahun merentasi sempadan Terengganu- Kelantan selama lima jam malam kelmarin semata-mata dengan niat untuk memaksa pelajar tingkatan tiga itu mengahwini seorang daripada suspek.



Bagaimanapun, komplot mereka menculik Noredreen Natasya Suhaimi gagal selepas gadis itu sempat menggunakan telefon bimbitnya untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang rakan yang akhirnya berjaya membantu polis menyelamatkannya dan menahan dua suspek.



Insiden itu bermula pukul 9.15 malam kelmarin apabila gadis tersebut berjalan keluar dari sebuah kedai runcit di Alor Peroi sebelum ditarik ke dalam sebuah kereta Perodua Kancil.



Jeritan mangsa menarik perhatian bapanya, Suhaimi Mustafa (gambar kecil), 36, yang berada di rumah kira-kira 80 meter dari situ. Dia nampak anaknya ditarik ke dalam kereta itu tetapi tidak sempat menolong.



Bimbang keselamatan anaknya, Suhaimi terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.



Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika dalam berjalan pulang ke rumah, mangsa tiba-tiba didatangi sebuah kereta Perodua Kancil berwarna perak dinaiki suspek bersama dua rakannya sebelum suspek menarik mangsa masuk ke kenderaan.



Menurutnya, bapa mangsa berusia 36 tahun yang berada di depan rumah ternampak kejadian itu dan mendengar jeritan anaknya, lalu cuba mengejar kenderaan tetapi gagal.



“Bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut, jam 9.45 malam, dan hasil maklumat penduduk kampung, polis berjaya menjejaki kenderaan suspek.



“Polis kemudian ke rumah keluarga suspek berusia 17 tahun di Kampung Bharu Pengkalan Nangka, Kuala Besut dan menahan pelajar tingkatan lima itu bersama suspek berusia 25 tahun yang juga sepupunya. Bagaimanapun, suspek utama dari Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan, masih diburu polis,” kata Kamaruddin, semalam.



Polis kemudian menemui mangsa yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok kira-kira jam 2.30 pagi dalam keadaan selamat dan menghantarnya ke Hospital Besut.



“Siasatan kita mendapati, mangsa mengenali suspek utama, namun tidak mengenali dua suspek yang ditahan. Mangsa memberitahu, suspek beberapa kali menyuarakan hasrat menjadikannya teman istimewa, tetapi tidak dilayan kerana masih bersekolah,” katanya.



Katanya, polis turut merampas kereta Perodua Kancil digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dua suspek berkenaan ditahan reman empat hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.



Noredreen Natasya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya semalam memberitahu, kereta yang dinaikinya dipandu laju sebelum mereka berhenti di sebuah rumah kosong dipercayai milik salah seorang suspek di Kampung Gong Manor, Pasir Puteh, Kelantan, iaitu kira-kira 15 kilometer dari tempat dia dilarikan.


Widget by Forex Trading | Business

0 comments:

Post a Comment

 
Online